"Abang, jerebu la pagi tadi. Tak sedap betul badan," celah seorang anak usrah saya ketika saya sedang bercakap. Akhir-akhir ini, bumi KuSISS sering dilanda jerebu cuma tidak berturut-turut. Pada pagi itu, hidung saya memang terasa pedih akibat jerebu yang datang tanpa diundang.Daripada kaca mata sains, jerebu merupakan satu fenomena yang berlaku apabila debu, dan zarah pencemaran lain mengaburi pemandangan langit. Jerebu juga dikatakan berpunca daripada pembakaran terbuka, asap-asap kenderaan dan lain-lain lagi.
Namun, perlu kita semua sedar bahawa fenomena yang digelar jerebu ini telah pun diberitahu sejak lebih 1400 tahun yang lalu.
"Oleh itu tunggulah (wahai Muhammad) semasa langit membawa asap kemarau yang jelas nyata (yang menyebabkan kebuluran yang dahsyat)". (surah ad-Dukhaan, 10)
Ayat ini dan ayat-ayat yang seterusnya menceritakan kepada kita tentang peristiwa musim kemarau dan kebuluran yang telah menimpa kaum musyrik di Mekah sehingga sangat laparnya, mereka memandang langit berasap.
Asap yang muncul di langit ini bagi saya bukan sahaja 1 fenomena alam tetapi satu peringatan daripada Allah SWT. Dalam ayat yang seterusnya, golongan musyrik Mekah yang menderita mengatakan ini adalah azab yang pedih. Lantas mereka merayu kepada Allah supaya menghapuskan azab ini dan mereka akan beriman. Namun, Allah Maha Mengetahui. Allah menyambung lagi:-
"Bagaimana mereka dapat beringat (menyempurnakan janji mereka hendak beriman itu)? Padahal mereka telahpun didatangi seorang Rasul yang memberi keterangan-keterangan (yang cukup untuk mereka beriman). Sekalipun demikian, mereka juga berpaling ingkar daripada menerima keterangannya sambil berkata (sesama sendiri): "Dia seorang yang diajar (oleh bangsa asing), dia juga seorang yang gila! Sesungguhnya (kalaulah) Kami hapuskan azab itu barang sedikit pun, sudah tentu kamu akan kembali kufur" (surah ad-Dukhaan, 13-15)
Untuk makluman pembaca sekalian, musyrikin Mekah ini sangat angkuh dan fanatik dengan agama nenek moyang mereka yang jauh terpesong daripada aqidah yang sebenar. Allah SWT telah menyatakan dalam ayat ke 8 dan 9 dalam surah yang sama,
"Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Dia; Dialah yang menghidupkan dan yang mematikan; (Dialah jua) Tuhan kamu dan Tuhan datuk nenek kamu yang telah lalu. (Mereka tidak meyakini kebenaran yang telah dijelaskan kepada mereka), bahkan mereka masih tenggelam dalam keraguan sambil bermain-main dengan perkara agama."
Sesungguhnya, faktor utama kejadian jerebu ini ialah sikap umat Islam itu sendiri. Keegoan yang menebal dalam diri telah menghitamkan hati mereka daripada menerima Islam. Mereka tetap degil mahu menjalani kehidupan tanpa berpandukan al-Quran dan as-Sunnah. Akibat keangkuhan sendiri, terzahirnya di atas daratan dan lautan kerana tangan manusia dan tiada satu pun akan berlaku tanpa izin Allah.
Di sini, saya ingin memesan kepada diri saya ini serta pembaca semua, azab yang berbentuk jerebu ini juga merupakan satu bala daripada Allah. Bala ini tidak memilih mangsanya walaupun mangsanya seorang yang taat dalam mengerjakan perintah Allah. Kita juga perlu sedar bahawa masa kita di muka bumi ini semakin singkat dan kita bakal manghadap Malik Yaumiddin. Mari kita semua check and balance iman kita yang mungkin sudah lama tidak diupdate. Di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Jika kita ingin selamat dunia dan akhirat, sesungguhnya telah ada jalan yang selamat iaitu Islam.
1 comments:
SALAM ZIARAH...thanx 4 visiting! nk send msg kt chat box tp ade prob...
by da way...terharu r tengok pic member2 kt kusiss...
aq rase ramai member batch f509' yg baru yg maybe aq x sempat knl...apepown,all da best to all!
straight A'S SPM!
Post a Comment