Monday, February 15, 2010

Bersabarlah, Allah Bersama Dengan Kita


keimanan tunjang kita

Bismillahirrahmanirrahim. Aku memohon perlindungan dariMu ya Allah daripada kejahatan lidahku. Sesungguhnya hambaMu ini hanya mengharapkan keredhaanMu sahaja.

Assalamualaikum. Mungkin post kali ini khas kepada yang bertanya, tetapi mungkin bermanfaat kepada anda jug
a wahai si pembaca blog saya ini.

Mesej Oh Mesej!

Mesej-mesej yang dibaca secara hakikatnya berlainan kalimatnya tetapi secara maknawi, sama saja maksudnya. Tiada beza. Semua berkaitan dengan Biah Islamiah. "Dah semakin berkurang la. Macam mana nak buat ya?" lebih kurang macam tu lah mesejnya.

Terasa nak tercabut jantung ini memikirkannya. Apa dah jadi sebenarnya? Bumi kusiss dah
terbalikkah? Tak kot.

Terasa bangga pun ada. Masih ada yang sensitif pada perkara ini. Tahniah buat yang peka! Masih ada an-Nur dalam diri anda.

Maratib Amal

Ada 5 peringkat dalam Maratib Amal.

1. Fardul Muslim (Individu Muslim)

2. Baitul Muslim (Keluarga Muslim)

3. Mujtama’ Muslim (Masyarakat Muslim)

4. Daulah Islamiah (Negara Islam)

5. Khilafah Islamiah (Empayar Islam)

Tidak mahu saya cerita pasal peringkat keempat dan kelima. Perkara yang menjadi aula (utama) dalam hal mewujudkan persekitaran yang baik ialah bermula pada peringkat pertama. Fardul Muslim. Kita (khas kepada yang menanya) perlu tanya kepada diri sendiri sama ada diri kita sudah ditanam dengan benih-benih akhlak Islamiah ke belum? Suka saya kata benih kerana kita perlu bermula daripada bawah. Boleh saja hendak bermula dengan peringkat tertinggi dan ianya sangat singkat masanya, tetapi percayalah bahawa hendak jatuh pun mengambil masa yang singkat juga.

Fardul Muslim

Apa yang perlu dalam menjayakan peringkat ini ialah aqidah yang sahih, hati yang bersih dan ilmu yang mencukupi untuk menghadapi hidup ini.

Dengan mengenali Pemberi Biah Islamiah, maka mudah saja bagi kita hendak teguh berdiri kukuh atas dunia ini. Dengan meletakkan pergantungan hanya kepada Allah, walau apa yang mendatang, kita tidak akan goyah. Sesungguhnya Mukmin yang sebenar tidak memerlukan kebaikan seseorang untuk menjadi baik. Apa kiranya orang yang mengajak kita ke arah kebaikan sudah tiada atau berubah perangainya, maka kita juga kembali kepada kejahilan dan kebatilan.

Ingatlah pembaca yang juga saudara yang saya kasihi, pergantungan kepada Allah dan tekad yang sangat kuat merupakan kekuatan sebenar kita. Biah Islamiah, kawan yang mulia akhlaknya, guru yang baik pekertinya hanyalah pendorong kepada kebaikan. Jika azam kita kuat dan berharap agar Allah membantu kita memperbaiki diri, InsyaAllah, kita dalam golongan yang beruntung. Moga diberi hidayah dan taufik.

Hati yang bersih pula menyebabkan hati ini terhindar daripada penyakit hati seperti riak, takabbur, dan yang sama maksud dengannya. Jauhkanlah daripada pujian-pujian yang berlebih-lebihan kerana hal ini dapat menggalakkan pembiakan virus-virus ini. Sedarlah bahawa pujian ada 4 :

1. Pujian daripada Allah kepada Allah.

2. Pujian Allah kepada makhluknya.

3. Pujian makhluk kepada Allah.

4. Pujian makhluk kepada makhluk.

Hakikatnya, semua pujian kembali kepada Allah. Kita langsung tak berhak ke atas pujian itu. Tidak!!! Apa kau kira kau sudah hebat??!!!

Na’uzubillahiminzalik.

Dengan ilmu, anda dapat mengenali dunia ini. Tidak perlu saya bercerita panjang. Sesungguhnya ketakutan syaitan laknatullah terhadap seorang ahli ilmu lebih menggunung daripada ketakutannya kepada 100 orang ahli ibadat.

Baitul Muslim

Sibukkan diri kita dengan halaqah ilmiah. Jika yang bertanya ingat, saya pernah mencadangkan kepada anda supaya wujudkan usrah. Saya tidak memaksa. Hanya cadangan semata-mata. Mungkin usrah tidak sama dengan baitul muslim ini, tetapi dalam peringkat anda wahai kepimpinan pelajar, kepentingannya sama sahaja.

“Tiada kekuatan tanpa jemaah”

Cuba cari bahan-bahan ilmiah yang sesuai. Mungkin kitab karangan Allahyarham Syeikh Fathi Yakan, Apa Erti Saya Menganut Islam sesuai sebagai permulaan. Anda boleh berbincang sesama sendiri dahulu dan pastikan ada ustaz/ustazah yang akan membuat ulasan.

Mujtama’ Muslim

Sekiranya dua peringkat sebelum ini sudah kukuh, dengan izinNya, satu persekitaran yang baik dapat diwujudkan oleh sesuatu jemaah. Konsepnya untuk menjayakan peringkat ini lebih kurang sama sahaja dengan peringkat-peringkat sebelumnya.

Kamu Berdakwah? Sudahkah Melalui Prosesnya?

“Dialah yang mengutus kepada kaum yang buta huruf seorang rasul di antara mereka, yang membacakan ayat-ayatNya kepada mereka, mensucikan mereka dan mengajarkan kepada mereka Kitab dan Hikmah (as-Sunnah). Dan sesungguhnya mereka sebelumnya benar-benar dalam kesesatan yang nyata.”(al-Juma’ah 62:2)

Ayat ini dan banyak lagi yang serupanya adalah tunjuk ajar daripada Allah SWT kepada RasulNya bagaimana hendak berdakwah.

Ketahuilah bahawa Rasullullah sebaik-baik qudwah(ikutan) bagi umatnya. Sebelum Allah mengarahkan baginda berdakwah, Allah memastikan hati baginda suci. Hal ini dibuktikan dengan peristiwa di mana baginda dibedah oleh dua malaikat untuk menyucikan hati dan meletakkan hikmah kepada diri baginda.

Rasulullah yang diutus dalam kalangan golongan yang benar-benar sesat, diajar untuk membaca ayat-ayat suci Allah kepada mereka. Setelah hati menjadi suci, maka diajarkan pula ilmu melalui perantaraan Jibril AS. Diri dilengkapi ilmu, barulah baginda mengajar.

Formulanya:-

Belajar -> Tazkiyah an-Nufus (penyucian hati) -> Dakwah

Maka, apakah alasan kita untuk tidak mengikuti sunnah ini?

Saya tidak mempunyai sebarang alasan untuk menidakkan sunnah ini.

Kamu Tahu Apa Itu Dakwah?

Sebenarnya, bagi orang yang berdakwah, mereka buat dua kerja dalam satu masa. 2 in 1. Mengajak orang kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran sambil-sambil mengupgrade diri sendiri. Kalau hendak tunggu diri sempurna, maka jawapannya sampai kiamat takkan sempurna. Kerana manusia macam kita ini tidak sempurna. Namun, barang diingat (ayat Sir Shahri semasa di KUSISS dulu), kita ini sebaik-baik ciptaan. Disertakan akal ke dunia ini.

Abaikan segala cercaan. Segala kesalahan dulu perlu kita perbaiki. Jangan asyik mengingat kisah silam yang kelam kerana kita akan merasakan diri kita sangat bodoh sebaliknya melihat masa yang mendatang dan merancang bagaimana untuk menghadapinya beserta beroleh keredhaanNya. Melihat kisah silam sekali sekala boleh supaya pisang tidak berbuah dua kali.

Mari kita sama-sama renungi kata yang penuh hikmah ini.

“Orang yang berwawasan sering memandang jauh melepasi kematiannya, dia memilih bagaimana dia hendak mati, dan dia sendiri memilih tempat mana dia hendak pergi selepas mati. Orang bodoh pula hanya berangan-angan sebatas dunia sementara, tanpa sedar pun yang akhirat itu jauh lebih bermakna”

Penutup : Aku Tak Mampu

Sebenarnya, saya tidak mampu untuk mengubah diri anda sebenarnya. Namun, anda sebenarnya mampu mengubah diri sendiri dengan kekuatan hakiki.

Saya hanya penyeru, sama ada anda mengambil tindakan atau tidak adalah pilihan anda. Tapi yang pastinya kita semua bakal disoal tentang pilihan kita ini.

“Aku teringin sekali membantumu. Namun, aku merasakan kamu tidak suka aku menyibuk akan hal-halmu. Aku tahu bahawa kamu ada matlamat tersendiri. Tetapi ingatlah bahawa, aku tidak akan membiarkan perjuangan ini dikotori dengan hati-hati yang kotor, yang mahukan dunia ini!”


"Saya bersedia mendengar apa sahaja masalah yang ingin diluahkan walaupun ia boleh menambahkan kesedihan saya sendiri asalkan orang yang datang berjumpa saya berasa lega"


0 comments: